Monday, February 28, 2011

Kenyataan Akbar Burung walet

KENYATAAN MEDIA
Oleh;
Y.B. DATUK SERI NOH BIN HAJI OMAR
Menteri Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia
12 Julai 2010 (Isnin)
ROAD MAP
PEMBANGUNAN INDUSTRI BURUNG WALIT NEGARA

1. Pada 1 April 2009, Kerajaan telah memutuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar
(JPV) dilantik sebagai agensi peneraju bagi merancang pembangunan industri
burung walit di negara ini. Berikutan dari arahan itu, JPV telah melaksanakan
usaha-usaha menyelaras undang-undang dan peraturan beserta garis panduan
yang menjadi wadah utama untuk memantapkan Industri Walit keseluruhannya.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi JPV telah mengambil
beberapa tindakan bagi pembangunan industri burung walit seperti:
(i) menyediakan satu Garis Panduan (1GP) Pembangunan Industri Burung
Walit Negara yang menyeluruh untuk diguna pakai oleh pelbagai agensi
yang terlibat bertujuan untuk menyelaras dan mengharmonikan pelbagai
peraturan pelaksanaan aktiviti penternakan dan pemprosesan serta
kegiatan import dan eksport sarang burung walit agar ia lebih tersusun
dan berdaya maju; dan
(ii) menyediakan Kerangka Pelan Induk Pembangunan Industri Burung
Walit.

2. Justeru itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah merangka pelan
induk pembangunan industri sarang burung walit bagi menambah bilangan
pengusaha yang mampan dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat untuk
melibatkan diri dalam penternakan burung walit dan perusahaan sarang burung
walit. Perancangan pelaksanaan pelan induk ini merangkumi tempoh sehingga
tahun 2020 telah menggariskan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan oleh
pelbagai agensi yang terlibat dalam menjayakan pembangunan industri sarang
burung walit di negara ini. Objektif serta strategi pelan induk ini adalah bertujuan
untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam meningkatkan
pengeluaran sarang burung walit daripada 250 tan metrik bernilai RM1 bilion
pada tahun 2008 kepada 500 tan metrik dengan anggaran nilai sebanyak RM5
bilion pada tahun 2020.

3. Bagi mencapai pengeluaran yang telah dirancang, pelan induk pembangunan
industri sarang burung walit ini menggariskan 7 Bidang Keberhasilan Utama
yang perlu dicapai iaitu:
(i) Undang-undang dan peraturan serta garis panduan yang menyeluruh
bagi pembangunan industri burung walit;
(ii) Premis perladangan burung walit yang mapan dan mesra alam;
(iii) Pengeluaran produk sarang burung walit bebas penyakit haiwan;
(iv) Pembangunan peluang pemasaran dan pengiktirafan standard sarang
burung walit di persada dunia;
(v) Peningkatan kecekapan dalam penghasilan produk melalui
penyelidikan dan pembangunan (R&D);
(vi) Mengadakan dana bagi perladangan dan pemprosesan sarang burung
walit melibatkan penyertaan golongan miskin dan miskin tegar; dan
(vii) Pembangunan guna tenaga manusia yang mahir dan cekap dalam
membangunkan industri sarang burung walit.

4. Sehubungan itu, 1GP telah dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9
Julai 2010 dan telah diluluskan. Ia merangkumi Tatacara Good Animal
Husbandry Practices (GAHP) MS 2237:2009 (P), Good Manufacturing Practice
(GMP) dan Edible-Birdnest (EBN) – Spesifikasi MS 2334:2010 (P), Import/
Eksport, Penyelarasan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung
Malaysia, Pendaftaran, Perlesenan serta rujukan norma-norma berkaitan.

5. Di samping itu, garis panduan ini turut memperuntukkan kaedah pendaftaran
premis burung walit di seluruh negara. Untuk tujuan ini, JPV akan
membangunkan sistem pendaftaran premis penternakan burung walit melalui
laman web burungwalit.com.my secara berperingkat-peringkat. Pendaftaran
premis burung walit boleh dicapai oleh pelbagai pihak secara maya. Setiap
premis akan diberikan nombor Radio Frequency Identification (RFID) bagi
memudahkan pengenalan dan tindakan daya jejak. Kad pengenalan premis
akan dikeluarkan oleh JPV. Pendaftaran premis burung walit boleh dibuat
sehingga akhir tahun 2010. Akta Binatang 1953 (Kaedah-Kaedah Binatang –
Pendaftaran Premis Burung Walit 2010) akan diwujudkan dan ketika ini sedang
diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

6. Sehingga kini 5 buah loji pengeluaran produk sarang burung walit untuk eksport
telah mendapat pensijilan Veterinary Health Mark (VHM). Eksport sarang walit
terus menunjukkan peningkatan dan pasaran eksport ke negara China telah
meningkat dari 4,965 kg tahun 2006 kepada 51,763 kg pada tahun 2007.
Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Taiwan juga merupakan pengimport
utama sarang burung walit dari negara ini. Kebanyakan eksport sarang burung
walit adalah dalam bentuk mentah (raw unclean).
7. Kesedaran awam perlu dipupuk bagi meningkat kefahaman yang jelas tentang
industri walit dari aspek pengenalan burung walit serta kesan industri pada orang
awam. Justeru, perusahaan walit memberi tambah nilai kepada eko-sistem,
tanah terbiar dan hutan. Ini juga membantu dalam meningkatkan pendapatan
kemiskinan bandar dan luarbandar dengan program yang telah dirangka oleh
Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

No comments:

Post a Comment